Ilmu Empat Tabib

10 April 2011

Pada suatu hari, Raja Nasyrun Adil (Khafilah Harun Ar-Rasyid) mengumpulkan empat orang tabib yang terkenal dari empat negara untuk bertanya mengenai ubat yang tiada mendatangkan penyakit selepasnya. Empat tabib yang dijemput itu ialah Tabib Iraq, Tabib Rumawi (Rom), Tabib Hindustan (India) dan Tabib Habsyah (Suadil-Iraq).

Khafilah berkata, "Hendaklah setiap orang daripada kamu menerangkan apakah ubat yang tidak ada penyakit padanya".

Tabib Hindustan (India) menjawab, "Ubat yang tidak ada penyakit padanya ialah hulaijij (kedekai) hitam". Dimakan 3 biji setiap pagi.

Tabib Iraq (ada sumber Tabib Rom) berkata. "Iaitu batang rasyad (jab ar Risyadah) yang putih." Dimakan pada setiap pagi.

Tabib Rumawi (ada sumber Tabib Iraq) berkata, bahawa ubat yang tiada lagi mengakibatkan penyakit ialah dengan meminum air hangat (air panas) tiga teguk setiap hari sebelum makan setiap pagi katanya.

Apabila tiba giliran Tabib Habsyah (Suadil-Iraq), beliau berdiam diri sehingga Raja Nasyrun Adil bertanya kepada beliau. Maka Tabib Habsyah menjawab, " Hulaijij (kedekai) hitam itu mengakibatkan penyakit sadawi (melipatkan perut besar). Ini penyakit. Biji batang Rasyad (Jab ar Risyadah atau halia yang putih) itu menyakibatkan Safrawi (menjauhkan perut dari tempatnya). Ini juga penyakit. Dan air panas itu (jika diminum pagi) akan menhancurkan hati dah melembutkan mi'dah (perut besar). Ini juga penyakit".

Lalu mereka bertanya, "Jadi, apa pendapat kamu?". Maka Tabib Habsyah (Suadil-Iraq) menjawab, "Menurut pendapatku, ubat yang tak ada penyakit padanya ialah: Tidak engkau makan sebelum engkau mengingininya, dan engkau mengangkat tangan sedang engkau ingin kepada makanan itu".

Dalam kitab Ilmu Tabib yang disalin dari Kitab Ubat pada kurun ke-13 oleh seorang tabib Melayu, dicatatkan pesanan Tabib Habsyah itu adalah

"Jangan Makan melainkan ketika lapar. Bila makan sila berhenti sebelum kenyang. Jangan minum melainkan ketika dahaga. Bila minum air, jangan terlalu banyak. Jangan makan sekaligus makanan yang sama sifatnya, contohnya, jangan makan daging bersama telur kerana sifatnya hangat, atau makan ikan bersama susu yang baru diperah kerana sifatnya basah. Jangan makan makanan liat dan susah hadam, atau keras bila dimamah. Jangan jima' melainkan sudah ghalib syahwat. Jangan tidur melainkan sudah mengantuk"

Dengan serentak tabib yang lain menjawab, "Benarlah engkau". Jelas bahawa pencegahan itu lebih baik dari segala jenis ubat.
Comments
0 Comments

No comments :

Post a Comment