Maksud makanan organik
Makanan organik secara amnya adalah bahan makanan (sayuran, buah-buahan dan haiwan ternakan) yang dihasilkan tanpa penggunaan bahan-bahan berikut:
- Baja kimia sintetik,
- Racun serangga,
- Sisa perkumuhan manusia,
- Sisa pembentungan,
- Sinaran radiasi
- Bahan tambahan makanan,
- Antibiotik
- Hormon pertumbuhan, dan
- Ubah suai genetik moden (untuk kebanyakan negara)
Tanah tanaman juga bebas daripada penggunaan baja kimia atau racun serangga sekurang-kurangnya 3 tahun. Cara penanamannya adalah berunsurkan konsep semula jadi, termasuk membajak secara tradisional, menggunakan baja semula jadi dan ditanam di tanah yang subur. Bagi haiwan ternakan organik, ia diberi makanan organik dan tidak diberi suntikan ubat antibiotik atau hormon pertumbuhan. Hasil daripada haiwan organik seperti telur ayam juga akan dikelaskan sebagai produk organik.
Makanan organik diproses secara amnya hanya mengandungi bahan/ramuan organik dan tidak mempunyai sebarang bahan tambahan makanan (pengawet, pewarna, dan sebagainya). Tetapi disebabkan proses pengeluaran makanan yang kompleks dalam kebanyakan makanan telah menyebabkan terdapatnya campuran minimum ramuan bukan organik. Oleh itu, pada pelabelannya, ia dikelaskan sebagai 90% atau 95% organik.
Kebaikan makanan organik
- mengurangkan pendedahan kepada racun serangga, hormon dan antibiotik.
- tidak mencemarkan alam sekitar seperti sungai dan tanah kerana tiada penggunaan bahan kimia semasa aktiviti pertanian.
- nilai nutrisi lebih tinggi
- kualiti makanan yang lebih tinggi
- memupuk diet dan pemakanan yang sihat
- pemuliharaan alam sekitar dan bumi - tanaman organik dapat menahan lebih banyak karbon di dalam tanah dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke atmosfera
- pertanian organik menggunakan tenaga yang kurang daripada kaedah pertanian biasa, disebabkan tiada penggunaan baja nitrogen.
- tidak mengandungi toksin disebabkan tiada penggunaan bahan kimia dan racun serangga dalam penanamannya.
Perbezaan makanan organik dengan bukan organik
Terdapat banyak cara untuk mengenal pasti ketulenan makanan organik seperti menjalankan analisa kimia ataupun penyelidikan terhadap proses penghasilan ladang-ladang organik. Bagi para pengguna, cara yang paling mudah adalah dengan membaca label. Kebanyakan makanan organik yang berada di pasaran sekarang adalah dibungkus secara berasingan dan dilabelkan.
Logo Organik Malaysia |