Penggunaan Lestari didefinisikan sebagai penggunaan produk atau perkhidmatan untuk kegunaan asas dengan memberikan kualiti hidup yang baik sambil mengurangkan penggunaan sumber asli dan mengurangkan penghasilan sisa sampingan. Pada masa yang sama, kitar hayat perkhidmatan dan produk ini diambil kira supaya ia tidak menjejaskan masa depan generasi akan datang.
Ini jelas menunjukkan peranan yang akan dimainkan oleh pengguna dalam memastikan kesejahteraan hidup melalui penggunaan lestari. Persoalannya, bagaimana penggunaan lestari dapat mengurangkan kos hidup yang semakin meningkat ini?
Jawapannya mudah. Objektif utama penggunaan lestari adalah amalan hidup yang sederhana. Ini hanya dapat dicapai melalui perubahan gaya hidup. Perubahan iklim dunia dan pengurangan sumber semula jadi menjadi satu cabaran yang besar untuk menangani kos harian yang semakin meningkat.
Adakah ini bermakna manusia mempunyai amalan gaya hidup yang kurang baik dan mengamalkan pembaziran?
Kebanyakan daripada kita mungkin masih ingat lagi bagaimana datuk dan nenek serta ibu dan bapa kita menuai air hujan, mengguna semula air selepas mencuci sayuran, menyimpan kertas-kertas dan botol-botol kaca untuk kitar semula, serta membeli apa yang perlu sahaja. Adakah kita masih menjalankan kehidupan begini?
Kebanyakan daripada kita dahulunya membawa bekal dari rumah, akan tetapi kini kita mengadu harga makanan di kedai mahal. Jika kita bijak berbelanja, dan membawa bekal dari rumah, ia bukan sahaja mengurangkan kos harian malah makanan yang disediakan lebih bersih. Di Malaysia kita masih menikmati kehidupan yang sejahtera. Semuanya di tangan kita.
Kita gagal melihat bahawa pengguna yang mengawal pasaran. Keupayaan membeli dan mewujudkan permintaan terhadap barangan tertentu khususnya, menyebabkan ketidakstabilan harga. Peningkatan harga pasaran akan memberikan kesan kepada kita sebagai pengguna. Di Malaysia, harga pasaran masih dalam kawalan industri. Pengguna-pengguna masih tidak sedar terhadap pilihan kepada barangan yang mereka beli.
Langkah pertama untuk menjadi pengguna yang lestari dengan memilih serta merancang pembelian barangan. Penggunaan yang tidak lestari akan menyebabkan penggunaan sumber alam yang tinggi dan seterusnya meningkatkan beban kepada alam sekitar. Pada masa yang sama, mewujudkan peningkatan kos yang mendadak.
Pengguna harus membeli barangan untuk kegunaan jangkamasa tertentu. Pembelian untuk tujuan menyimpan stok boleh menyebabkan kepada pembaziran jika tidak digunakan sebelum tarikh luput. Ini dilihat sebagai
pengunaan tidak lestari.
Konsep 3R (mengurang - reduce, - menggunakan semula - reuse, dan kitar semula - recycle) boleh digunakan untuk mencapai penggunaan lestari di kalangan penggunapengguna Malaysia. Kurangkan penggunaan barangan yang tidak diperlukan. Hanya membeli barangan yang diperlukan sahaja.
Pengguna harus sedar dan meneliti bungkusan produk, sama ada ia boleh diguna semula seperti bekas kosong, botol dan bahan yang berasaskan kertas untuk digunakan sebagai pembungkus barangan yang kita beli. Memilih bahan pembungkusan yang baik juga membantu kita dalam mengurangkan penghasilan sisa pepejal.
Pembelian produk-produk berasaskan botol kaca, dibungkus dengan bahan berasaskan kertas, pembungkusan berasaskan logam dan bateri boleh cas semula membantu kita menggunakan semula bahan-bahan ini sebelum dihantar ke tempat kitar semula. Pengguna juga boleh membawa beg sendiri apabila membeli belah. Cara ini dapat mengurangkan penggunaan dan pembuangan beg plastik dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah alam sekitar.
Amalan 3R
R pertama dapat membantu pengguna untuk mempraktiskan R kedua iaitu kaedah guna semula (Reuse). Pengunaan semula bahan-bahan pembungkusan yang dibeli oleh pengguna adalah penting untuk mengurangkan penghasilan sisa. Pengunaan semula bekas-bekas yang telah digunakan untuk menyimpan barangan yang sama (beli paket isi semula) atau barangan rumah yang lain; pakaian lama diguna semula sebagai kain perca, alas kaki, dan alas kusyen.
Penggunaan kedua-dua belah muka surat kertas cetak dan kotak-kotak terpakai untuk tujuan menyimpan juga boleh dikatakan sebagai guna semula. Penggunaan barangan elektrik, pakaian, buku, perabot, dan barangan lain yang sukar untuk dibuang tidak boleh disimpan untuk jangkamasa panjang. Jika barangan ini masih dalam keadaan yang baik, ia boleh didermakan kepada pusat komuniti dan sekolah. Sekiranya barangan tersebut tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dibuang dengan menghantarnya ke pusat-pusat kitar semula dan pusat-pusat kutipan.
R yang terakhir pula ialah kitar semula (recycle). Ada di kalangan kita yang berpendapat kitar semula adalah industri yang bersih. Kitar semula sememangnya memberikan impak kepada alam sekitar semasa pengekstrakan bahan-bahan berguna. Walau bagaimanapun, ia lebih mesra alam berbanding dengan penggunaan bahan mentah secara terus.
Industri di Malaysia perlu menjalankan Penilaian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment - LCA) untuk menggunakan sistem yang lebih baik dalam "Pengeluaran Hijau". LCA menggariskan satu proses yang ketat di mana ia melihat kepada cara pemprosesan sumber bahan mentah dan pemprosesannya yang melibatkan pengekstrakan, pembersihan, pengangkutan, pembuatan, sisa terhasil, jangka hayat, dan pembuangan. Jika sesuatu produk itu boleh dikitar semula, ia boleh menjadi sumber bahan mentah untuk industri yang lain. Terdapat pepatah yang berkaitan dengan alam sekitar berbunyi, "Sisa satu industri merupakan sumber industri lain". Inilah yang dikatakan pendekatan cradle to cradle.
Sekiranya sisa-sisa mula digunakan untuk dijadikan sumber bahan mentah, kita dapat menjimatkan kos yang tinggi dalam penggunaan bahan ini. Proses yang saling bergantungan ini dapat memberikan manfaat kepada industri dan pengguna dalam pemeliharaan alam sekitar, pada masa yang sama menurunkan kos barangan.