Alat Permainan yang Berbahaya dan Panduan Membelinya

01 December 2010

Pemilihan alat permainan tidak harus dipandang ringan. Walaupun alat permainan sepatutnya menyeronok dan menghiburkan, namun bukan semuanya dimainkan sebagaimana tujuan alat mainan itu dicipta.

Kanak-kanak belajar mengendalikan sesuatu objek dan meneka fungsinya semenjak dari kecil. Ini antara sebab mengapa keselamatan dan kesesuaian alat permainan itu penting. Pemilihan alat permainan harus sesuai dengan umur kanak-kanak bagi membantu meningkatkan perkembangan dan bakat mereka. Keadaan fizikal, sosial dan pendidikannya juga harus diambil kira dalam hal ini.

Kemalangan ketika bermain alat mainan sering disebabkan tiga punca utama:

  1. Penyalahgunaan, contoh: seperti apabila blok kayu dilontarkan kepada seseorang.

  2. Tidak sesuai, contoh: seperti apabila set bahan kimia diberikan kepada kanak-kanak berusia enam tahun atau guli diberikan kepada kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.

  3. Barangan tidak selamat iaitu contoh: mainan kayu yang terdapat bahagian yang tajam atau anak patung yang pinnya terkeluar.

Dengan mengetahui bagaimana kemalangan boleh berlaku, ibu bapa boleh memilih alat permainan yang dapat menjauhkan kanak-kanak daripada ditimpa kemalangan.

Beg plastik yang selalu ditinggalkan berselerak di merata rumah boleh melemaskan kanak-kanak jika mereka menyarungnya pada kepala dan muka.

Ibu bapa harus menilai barang mainan yang dibeli untuk anak-anak. Alat permainan adalah kemestian dan kanakkanak banyak belajar melaluinya tetapi ia tidak perlu menggugat keselamatan dan kesihatan mereka.

Panduan membeli barang mainan


  • Alat mainan kecil yang senang ditelan atau disedut melalui hidung tidak sesuai bayi atau kanak-kanak prasekolah.

  • Pastikan setiap bahagian alat mainan dipasang dengan sempurna. Contohnya, tayar kereta mainan, kapal terbang, mata atau butang anak patung yang senang dicabut. Kanak-kanak gemar memasukkan benda-benda ini ke dalam mulut. Sebarang bahagian tertonjol hendaklah tumpul dan tidak boleh mencederakan.

  • Alat mainan sepatutnya tidak boleh pecah dan meninggalkan kesan tajam atau selumbar. Begitu juga barangan plastik yang boleh dilentur.

  • Pastikan tiada pin atau dawai kokot terlekat pada alat mainan terutama anak patung.

  • 'Stuffed toys' harus menggunakan bahan bahan yang tidak mendatangkan alahan atau alergi. Pastikan alat permainan tidak menggunakan cat bertoksik.

  • Alat permainan sepatutnya boleh dicuci untuk memastikan ia tidak terlalu kotor dan mengumpul kuman yang boleh menyebabkan jangkitan.

  • Berhati-hati dengan alat perhiasan kanak-kanak yang senang pecah dan mudah ditelan.

  • Pastikan tali yang diikat pada alat mainan tidak melebihi 30 sentimeter panjang. Tali yang melebihi ukuran ini boleh menyebabkan kanak-kanak terbelit leher mereka dengan mudah.
Comments
0 Comments

No comments :

Post a Comment