Ikan mengandungi banyak nutrien penting, termasuk protin dan sepatutnya menjadi sebahagian besar dari diet harian kita. Hanya sebahagian kecil dari ikan (100 gram) menyediakan 1/3 hingga separuh dari keperluan protin seharian. Ikan juga kaya dengan vitamin B12 yang diperlukan oleh sistem tubuh. Ikan berlemak seperti salmon, makerel dan herring juga mengandungi 2 kali ganda kalori dari ikan lain. Tidak seperti lemak tepu dari haiwan, lemak tak tepu dari minyak ikan adalah sangat berfaedah kepada kita. Kajian yang pernah dijalankan menunjukkan seseorang yang makan ikan berminyak sekali seminggu adalah jauh dari risiko penyakit jantung dan strok.
Omega-3
Asid lemak Omega-3 dari minyak ikan diketahui membantu melindungi jantung dan melancarkan perjalanan darah. Ia adalah suatu keperluan (essential) kepada sistem imun kerana tubuh kita tidak menghasilkannya melainkan kita harus mendapatkannya dari sumber luar. Saintis mendapati asid lemak Omega-3 penting untuk kesihatan mata dan otak. Ibu mengandung sepatutnya menjadikan ia sebahagian dari diet mereka. Ia dapat memberi keseimbangan terhadap pemakanan sumber omega-6 yang berlebihan.
Terdapat dalam bentuk kapsul atau cecair, minyak ikan boleh dikategorikan kepada dua jenis:-
- minyak limpa ikan (seperti kod, salmon, makerel)
- minyak isi ikan (seperti ikan bilis, sardin).
Istilah minyak limpa ikan kod berasal dari minyak yang diekstrak dari limpa ikan kod. Minyak ikan adalah sumber yang baik untuk vitamin A dan D.
Spesis Ikan Berminyak
Tenggiri (Mackerel)
Kaya dengan omega-3, Vitamin D dan selenium. Mengandungi 2 ~ 3 % asid lemak omega 3. Bagaimanapun, kandungan lemak omega-3 berbeza mengikut musim. Kekurangan selenium boleh mendatangkan penyakit jantung dan kanser.
Salmon
Dikatakan spesis kedua kaya dengan omega 3 selepas Tenggiri.
Todak (Swordfish)
Meskipun mengandungi omega 3, ia tidak dapat menandingi kandungan omega 3 seperti yang terkandung di dalam ikan tenggiri dan salmon.
Ikan Sebelah (Halibut)
Ikan jenis ini juga mengandungi omega 3 yang tinggi, kurang sedikit dari ikan kod. Ada yang memanggil ikan ini ikan sisa nabi di mana ada kisah yang menceritakan bagaimana kedua-dua belah matanya hanya terletak di sebelah kiri, dan warna yang berlainan di antara sisinya, iaitu seorang Nabi pernah memakan ikan ini di sebelah sisinya kemudian mencampakkan ke laut, kemudian ikan ini hidup semula dan jadilah ia ikan separuh badan.
Ikan Kayu/Tongkol (Tuna)
Ikan tuna kaya dengan vitamin D, B12 dan Omega-3. Tetapi tuna bukanlah sumber terbaik untuk asid lemak omega 3 kerana kandungannya terlalu rendah. Tuna di dalam tin tetap kaya dengan vitamin tetapi sumber omega-3 semakin kurang kerana kebanyakan minyak sudah dikeluarkan sebelum ditinkan.
Ikan Kod (Cod)
Banyak faedah yang kita dengar tentang minyak limpa ikan kod. Antaranya menguatkan tulang dan gigi, memelihara kulit, merawat gout dan arthritis dan juga untuk kesihatan jantung.
Ikan Parang (Wolf-Herring)
Mengandungi omega 3, vitamin A dan C, kalsium dan zat besi.
Sardin (Sardine/Pilchard)
Boleh didapati dengan harga yang murah di pasaran tetapi sangat berguna untuk sumber protin, zat besi dan zink termasuk semua jenis nutrien yang terkandung di dalam ikan-ikan yang disebutkan di atas termasuk omega-3. Sardin tergolong dalam kumpulan yang sama dengan salmon dan trout.
Layaran (Sailfish)
Ikan Layaran juga antara sumber terbaik omega3.
Siakap (Barramundi)
Siakap harganya agak mahal tetapi ia tidak kurang juga khasiat protin dan omega-3. Masakan popular yang menyelerakan ialah siakap tiga rasa. Tetapi lebih baik ia tidak digoreng terlebih dahulu demi memelihara khasiatnya.
Kerapu (Grouper)
Juga kaya dengan omega-3 dan protin.
Ikan Bilis (Anchovies)
Ikan yang kecil tapi tidak kurang dari segi khasiatnya. Ia seperti ikan sardin, mempunyai lemak omega-3 dan protin yang berfaedah kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa. Ia juga kaya dengan vitamin E dan D, mineral kalsium dan selenium. Ikan kecil seperti ini lebih baik dari ikan besar seperti siakap dan tuna kerana ia mengandungi kurang kadar pencemaran logam berat seperti merkuri, plumbum dan arsenik oleh sebab pencemaran alam. Ini kerana ikan kecil mempunyai jangka hayat yang pendek dan ia kurang risiko pencemaran.
Ikan Mentah
Memakan ikan secara mentah seperti di Jepun iaitu sushi dan sashimi boleh mendatangkan risiko kecacingan kerana ikan adalah antara perumah yang baik untuk cacing-cacing parasit. Ia perlu dimasak untuk memastikan semua cacing dan telurnya mati. Sesudah dimasak, hendaklah dimakan ketika masih panas kerana ikan yang dimasak cepat rosak dan membiakkan bakteria. Masak stim, bakar atau panggang adalah kaedah terbaik untuk memelihara kesihatan.
bagus artikel ni...
ReplyDeletebuat masa ni, gue lebih kepada salmon...
hehee
@mie: baru aku tahu ikan tenggiri lebih banyak omega 3 dari salmon.
ReplyDelete