Berbagai cara dilakukan untuk menguruskan badan. Ada yang menggunakan pil pelangsing atau ubat-ubatan tertentu bagi merampingkan tubuh badan.
Sebenarnya untuk menguruskan badan, kita tidak memerlukan ubat-ubatan yang belum tentu keberkesanannya. Berikut beberapa kaedah yang boleh dilakukan bagi menguruskan badan.
- Jangan suka berlapar. Makanan memberikan tenaga. Apabila kita menggunakan tenaga kurang daripada apa yang dimakan, tubuh akan mengalami kejutan. Tubuh akan mula membakar otot untuk menggantikan makanan. Ini menyebabkan kadar metabolisme tubuh menjadi rendah.
- Air mengurangkan selera makan anda secara semula jadi dan membantu badan memetabolisme simpanan lemak di dalam tubuh. Sebelum makan makanan yang berat, minum air terlebih dahulu. Pasti anda tidak akan makan dengan banyak.
- Elakkan minuman bergas. Minuman bergas biasanya mengandungi 7-8 sudu gula. Jumlah pengambilan gula sebanyak ini tidak baik untuk kesihatan tubuh.
- Kurangkan pengambilan garam. Pengambilan garam yang tinggi menggalakkan pengumpulan air dalam badan. Dengan mengurangkan pengambilan garam bermakna badan anda menangkung sedikit air. Ini bermakna anda kurang berat yang disebabkan air.
- Anda boleh menurunkan berat badan dengan mengambil sarapan . Terdapat kajian menunjukkan bahawa mereka yang tidak mengambil sarapan akan lebih cenderung untuk gemuk berbanding dengan mereka yang mengambilnya. Bagaimana ia terjadi? Sarapan menstabilkan hormon dan paras gula di dalam darah. Kadar metabolisme juga meningkat untuk membakar kalori.
- Nikmatilah makanan dengan perlahan-lahan dan jangan gopoh. Apabila makanan dikunyah secara perlahanlahan, tubuh akan menghantar isyarat yang menunjukkan kepuasan. Gigit makanan dengan cebisan lebih kecil sebelum menelan. Dengan cara ini makanan lebih mudah dihadam.
- Biar makan dengan kerap, tetapi dengan kuantiti yang sedikit, daripada makan hanya sekali, atau dua kali tetapi dengan kuantiti yang banyak.
- Kurangkan pengambilan marjerin atau mentega dalam makanan.
- Apabila makan di restoran atau gerai, pesanlah air limau nipis atau jus oren kerana minuman yang masam menggalakkan pembakaran lemak. Mintalah minuman yang mengandungi kurang gula.
- Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber terbaik untuk vitamin, mineral dan serat serta kandungan lemak yang rendah.
- Jangan menimbang berat badan pada setiap hari kerana anda tidak akan nampak perubahannya. Jika anda minum dengan banyak, dan kemudian menimbang berat badan, sudah tentu berat badan akan meningkat. Ini menyebabkan anda berasa putus asa untuk berdiet.
- Ambil makanan yang berempah Sesetengah rempah seperti cili, biji sawi boleh membakar kalori. Penambahan lada hitam bukan sahaja meningkatkan penghadaman tetapi juga meningkatkan pembakaran lemak.
- Pilih lebih banyak bijirin dan kekacang dalam makanan. Bijirin adalah sumber utama tenaga. Bijirin dan hasil bijirin banyak mengandungi karbohidrat kompleks, protein, vitamin, mineral dan sedikit lemak.