Ancaman Melamina Dalam Rumusan Susu China

14 November 2010

Isu keselamatan produk makanan timbul lagi dan keadaan kali amat membimbangkan kerana ia melibatkan produk makanan yang sangat kritikal isaitu susu. Bayi-bayi yang tidak bersalah telah kehilangan nyawa, dan berpuluh ribu lagi mempunyai masalah kesihatan disebabkan pencemaran melamina dalam susu mentah di negara China.

Apakah itu Melamina?


Melamina adalah sebatian organik yang mengandungi peratusan nitrogen yang tinggi (66% nitrogen). Ia boleh terbentuk sebagai hasil metabolisme cyromazine (sejenis racun perosak) oleh haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan sebagainya yang telah memakan makanan yang mengandungi racun perosak tersebut.

Apakah kegunaan Melamina Untuk Manusia ?


Melamina mempunyai beberapa kegunaan industri, iaitu
  • Ia boleh dicampur dengan resin dan digunakan sebagai bahan pencegah kebakaran.
  • Ia boleh digabung dengan formaldehid untuk menghasilkan resin melamina iaitu sejenis plastik tahan haba.
  • Ia merupakan komponen utama di dalam penghasilan pigmen warna Kuning 150 yang digunakan di dalam dakwat dan plastik.
  • Ia juga digunakan sebagai baja walaupun kegunaannya terhad.
  • Ia juga telah digunakan secara HARAM untuk meningkatkan bacaan kandungan protein makanan seperti susu dan makanan berasaskan protein susu - makanan haiwan.

Adakah Melamina Berbahaya kepada Manusia?


Jika dimakan secara berlebihan, sebatian melamina (iaitu gabungan melamina dan asid cyanuric) boleh menyebabkan pembentukan batu karang (melamine cyanurate) di dalam ginjal.

Sebatian melamina cyanurate didapati lebih berbahaya daripada melamina atau asid cyanuric sendiri.

Melamina sendiri berbahaya jika dimakan, dihidu atau jika meresap melalui kulit.
Pendedahan terhadap kandungan melamina tinggi untuk jangkamasa lama boleh menyebabkan barah dan merosakkan sistem pembiakan / reproduktif. Tahap toksik melamina yang berbahaya adalah pengambilan melamina melebihi 3000 miligram per kilogram berat badan.

Pendedahan atau memakan kuantiti melamina yang sedikit akan disingkirkan melalui air kencing. Mengikut Majlis Negeri China (State Council of China) tahap melamin yang dijumpai didalam susu bayi adalah di antara 0.09mg/kg susu hingga 619mg/kg susu.

Produk yang paling banyak mengandungi melamin adalah produk susu keluaran Shijiangzhuang Sanlu Co iaitu sehingga 2563 mg/kg susu. Kerajaan China barubaru ini telah menetapkan tahap maksimum kandungan melamina kepada 1 mg/kg untuk tepung susu bayi dan 2.5 mg/kg untuk makanan yang mengandungi 15% susu.

Sejarah pencemaran melamin di dalam makanan dan akibatnya


Pada tahun 2004, beratus-ratus bayi di negara China jatuh sakit dan mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, sehingga menyebabkan kepala mereka besar berbanding dengan badan mereka yang kurus. Ia dikenali sebagai penyakit kepala besar di kalangan orang China pada masa itu.

Hasil kajian yang dilakukan terhadap penyakit tersebut menunjukkan bahawa pengeluar susu bayi telah menipu pengguna dengan membekalkan susu yang mengandungi protein separuh daripada yang digariskan oleh undangundang. Sekurang-kurangnya 12 orang bayi meninggal dunia pada masa itu.

Pada awal tahun 2007, Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (US FDA) telah mengeluarkan arahan menarik balik beberapa jenama makanan haiwan yang mengandungi protein gandum yang diimport dari China. Sumber protein tersebut didapati mengandungi melamina. Beratus-ratus binatang peliharaan di Amerika Syarikat jatuh sakit atau mati selepas makan makanan tersebut.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, beberapa kes bayi sukar membuang air kecil atau kencing berdarah telah dilaporkan di hospital di negara China. Pada pertengahan bulan Julai 2008, kerajaan tempatan wilayah Gansu, China, juga melaporkan kejadian penyakit luar biasa dalam kalangan bayi yang melibatkan kerosakan ginjal. Pada bulan Julai 2008, saluran televisyen kabel di wilayah Hunan juga melaporkan kejadian penyakit yang sama di kalangan bayi.

Apakah yang Harus Dilakukan Oleh Pengguna di Malaysia?


Produk-produk tenusu spesifik seperti susu tepung formula bayi dan susu yang terdapat di pasaran Malaysia berasal dari Negara China, tetapi yang menjadi kerisauan orang awam ialah susu yang mengandungi melamina yang digunakan dalam makanan-makanan terproses yang lain dan juga tanaman sayuran and buah-buahan disebabkan penggunaan racun perosak.

Pengguna hanya boleh bergantung kepada label makanan untuk mengetahui samada produk makanan tesebut berasal daripada negara China atau mengandungi ramuan susu atau berasaskan susu yang diimport dari China.

Pengguna harus mengemas kini maklumat tentang status keselamatan produk makanan yang sedang diuji oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Maklumat terkini boleh diperolehi daripada akhbar-akhbar tempatan dan juga laman web BKKM iaitu: http://fsq.moh.gov.my.

KKM menasihatkan penjual supaya menyemak inventori produk jualan dan memulangkan semula produk yang mengandungi susu atau produk berasaskan susu yang berasal dari Negara China.
Comments
0 Comments

No comments :

Post a Comment