nauzubillah... dibawah ni salinan arkib tersebut.
Berita Harian
Khamis 31 Disember 1998 12 Ramadan 1419
Fadilat tarawih didakwa hadis rekaan
KOTA BHARU, Rabu - Sebuah kumpulan pengajian Islam di sini, Darul Quran Was Sunnah, meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa majlis agama negeri menyiasat penyebaran hadis palsu berhubung kelebihan solat tarawih.
Hadis yang dikatakan palsu itu mengenai kelebihan solat tarawih sepanjang malam Ramadan, kononnya diriwayatkan oleh Saidina Ali dan disebarkan secara meluas melalui media massa.
Jurucakapnya, Asri Yusof, berkata hadis itu nyata lemah dan palsu serta tidak pernah ditemui dalam kumpulan Sunnan Sittah (himpunan dalam kitab hadis oleh enam ulama hadis masyhur) dan kitab Muwatta' karangan Imam Malik.
Hadis itu antara lain mengenai kelebihan solat tarawih pada setiap malam, misalnya pada malam pertama keluar dosa orang mukmin seperti bayi yang baru dilahirkan, sehingga malam ke-30.
Perkara mengenai kelebihan solat tarawih ini hanya tersebar secara meluas sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini.
"Hampir semua media memetik dan mengguna pakai hadis ini, yang tersebar luas kepada orang ramai sedangkan ia ternyata palsu," katanya kepada Berita Harian.
Sebelum itu, Darul Quran Was Sunnah yang beralamat di Masjid Purnama, Paya Purnama, dekat sini, menghantar salinan bertajuk Kepalsuan hadis kelebihan tarawih meminta perkara itu diperbetulkan bagi memperbaiki salah faham umat Islam.
Menurutnya, umat Islam perlu berhenti daripada mempercayai perkara bidaah kerana ia nyata sesat dan menyesatkan.
Asri berkata, perkara itu mungkin berlaku disebabkan kelemahan umat Islam sendiri dalam memahami ilmu hadis atau pengaruh fahaman Syiah yang cuba menyelewengkan kefahaman pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Hadis itu dipercayai terdapat dalam beberapa buku fadilat Ramadan terbitan tempatan dan kitab Duratunasihin karya Othman Hassan bin Ahmad Asyalal al-Khaoubori yang diterbitkan di Mesir pada 1954.
Di KUALA LUMPUR, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, berkata hadis mengenai kelebihan 30 malam solat tarawih itu dianggap palsu atau rekaan kerana ia tidak mempunyai sumber muktabar.
Menurutnya, hadis itu dipercayai direka oleh orang yang mempunyai kepentingan.
Serentak itu, beliau meminta masjid atau surau yang menampal hadis berkenaan di premis masing-masing supaya membuangnya bagi mengelak umat Islam mempercayai hadis itu.
"Umat Islam yang menunaikan solat terawih tidak harus terpengaruh dengan kelebihan fadilat dalam hadis rekaan itu, sebaliknya menunaikan solat dengan mengharapkan balasan Allah," katanya.
Ditanya bolehkah seseorang mencipta hadis untuk mendorong umat Islam menunaikan solat terawih, Dr Hayei berkata mereka termasuk dalam golongan yang melakukan dosa besar.
Beliau berkata, antara hadis sahih mengenai kelebihan solat terawih ialah:
"Dari Said Musayyap, Rasulullah bersabda: sesiapa beribadat (solat terawih) dalam bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni dosa-dosa yang terdahulu, hadis riwayat al-Nasa'i.
"Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: sesiapa yang menghayati (beribadat) malam lailatulkadar dengan iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni semua dosanya, hadis riwayat al-Nasa'i."
Terima kasih sahabat atas info nie.
ReplyDelete