Azian membelek-belek sirih junjung yang disusun dalam bentuk mahkota. Kemudian dia beralih pula pada gubahan halwa betik yang diukir cantik.
"Amboi! Kak Yan. Bertuahlah si Murni. Orangnya lawa. Hantaran mahal. Setakat ni, dialah yang dapat hantaran paling tinggi kat kampung ni. Anak imam Hasan yang bertunang baru ni pun cuma empat ribu saja," jolok Zabedah. Tangannya menjamah sebiji buah prun daripada gubahan berbentuk landak.
"Aku ni bukan apa, Bedah. Ini kenduri pertama aku. Anak perempuan pula tu. Biarlah meriah sikit. Nak tunggu si Manisah tu kahwin, alamat berjanggutlah aku. Asyik nak sambung belajar saja. Nanti dah siap Ph.D pun solo lagi," jawab Azian dengan tersenyum lebar.
Murni yang duduk di sebelah ibunya hanya menjeling.
"Kak Yan, jangan buat-buat lupa pula. Saya dah cop nak andam si Murni. Nanti saya jahit baju songket baru. Biar Murni yang rasmikan. Kalau tak nak songket, boleh guna sutera sandwash ke, satin sutera ke, sutera Thai ke, renda Perancis ke. Pelamin pun saya nak buat design baru punya. Lagi hebat daripada anak YB yang kahwin baru- baru ni," kata Zabedah sambil menepuk-nepuk bahu Azian. Matanya bersinar-sinar.
"Aku serahkan kat engkau sajalah, Bedah. Pandai- pandailah kau atur. Janji terbeliak mata orang kampung tengok," ujar Azian tersenyum bangga.
"Cukup ongkosnya, bisa diatur," ujar Zabedah dengan ketawa mengilai.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa' ayat 36:
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan dirinya.
Dari tempat duduk di kantin kilangnya, Amir termenung memerhatikan sehelai daun kering yang terbang ditiup angin. Daun kering itu tidak ubah seperti dirinya kini. Dibawa oleh angin nasib yang entah bagaimana penghujungnya nanti. Dia masih dihantui oleh peristiwa kelmarin. Kelmarin yang diimpikannya sebagai gerbang kepada sebuah kebahagiaan namun rupa-rupanya menjadi satu permulaan kepada mimpi ngeri yang panjang.
"Bukan tujuan saya nak jual anak. Che Din faham- fahamlah. Harga barang sekarang makin mahal. Jadi dengan seikhlas hati saya minta hantaran RM9,000 serba berdiri untuk Murni. Satu lagi kakaknya, Manisah, pun belum kahwin. Jadi untuk langkah bendulnya, saya pun nak minta serba berdiri. Ala orang perempuan. Nanti kecil hatinya."
Betapa pun lembut suara ibu Murni menuturkan kata-katanya namun di telinga Amir, ia umpama petir yang membelah bumi. Dia yang ikut sama dalam majlis peminangan dan pertunangan itu tersentak. Dia memandang wajah ayahnya yang kelat. Begitu juga ibunya yang duduk di sudut yang lain. Wajahnya yang tadi begitu anggun dan manis berubah menjadi gelisah. Diikutkan hatinya, mahu sahaja dia bertempik di situ. Tapi teringatkan Murni yang menangis-nangis memintanya masuk meminang segera kerana ada orang lain yang telah merisik-risik dirinya, Amir beristighfar berkali-kali.
"Amir, Murni tak tahu pun pasal hantaran sembilan ribu tu. Murni dah cakap dengan mak macam yang kita dah bincang. Mir, ini semua rancangan mak. Murni dah puas merayu kat dia. Tapi dia tetap dengan pendirian dia. Abah pun tak boleh buat apa- apa," suara Murni bersulam esak tangis kedengaran di hujung talian ketika dia menghubunginya petang kelmarin.
Amir melepaskan keluhannya. Dia tidak lupa bagaimana sepanjang dua jam dalam perjalanan pulang dari rumah Murni, tidak ada sepatah kata pun yang keluar dari mulut ayahnya. Wajahnya bersalut kekesalan. Ibunya pula sesekali mengesat air mata yang menitis secara diam-diam. Amir serba salah kini. Benar-benar tersepit. Antara perasaan sayang kepada Murni dan kemampuannya yang belum tentu dapat memenuhi permintaan ibu Murni.
"Mir, jauhnya engkau termenung. Dah sampai mana?" usik Hafiz. QC yang berusia lima tahun lebih tua daripadanya itu duduk di sebelahnya.
"Entahlah, bang. Pening saya dibuatnya. Orang nak kahwin seronok. Saya nak kahwin, terperonyok."
"Dalam maknanya tu. Apa masalahnya? Murni? Duit? Kumpullah perlahan-lahan."
"Kalau seribu dua, senanglah nak cerita. Ini sembilan ribu. Dua kali serba berdiri pulak tu. Bertunang nak setahun saja. Saya nak bayar kereta, loan masa belajar kat kolej dulu lagi. Ini mak dia punya pasallah," keluh Amir seakan-akan melepaskan rasa marah.
"Abang dah rasa dulu, Mir. Tapi taklah teruk macam ni. Keluarga mentua abang sporting. Cuma sebab keluarga abang orang susah, terpaksalah abang buat pinjaman peribadi untuk hantaran, buat kenduri sikit, baiki rumah ayah abang yang dah nak rebah tu," ujar Hafiz mengimbas kenangan lalu. Setelah tiga tahun, dia kini masih dalam proses melangsaikan hutangnya.
"Pinjaman peribadi?" Mata Amir terbeliak mendengar perkataan itu.
"Abang pinjam RM15 ribu. Tempoh 10 tahun. Bulan- bulan abang bayar RM198. Nak buat macam mana? Harapkan duit simpanan, tak kahwin la sampai bila-bila," ujar Hafiz sambil menggeleng- gelengkan kepalanya.
Amir hanya tersenyum pahit.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan. (Riwayat at-Tirmizi)
"Abang cadang kali ni nak buat kenduri kat depan masjidlah. Apa pandangan Jah?" tanya imam Hasan.
"Pelik bunyinya tu, bang. Kenapa kali ni nak buat kat depan masjid pulak?" tanya Khadijah sambil mengerutkan dahinya. Baju yang sedang dijahit sembat diturunkannya ke atas riba.
"Banyak kelebihannya, Jah. Alang-alang buat majlis akad nikah kat masjid, baik terus buat kenduri kat sana. Orang senang nak datang. Bila masuk waktu solat, tempat dah tersedia. Lagipun masjid kan rumah Allah. Cari berkat. Masing- masing tentu segan nak buat tak tentu hala. Pakai baju elok-elok. Cakap pun elok-elok. Taklah segan yang tak ada barang kemas tu nak datang. Jah tengoklah nanti. Kalau orang kampung dah sedar kelebihannya, tentu mereka pun nak buat kenduri kat depan masjid juga. Kita cuba hidupkan semula budaya menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti harian masyarakat Islam."
"Saya setuju, bang. Lagi elok kalau kita buat kenduri sederhana saja. Jangan membazir dengan benda-benda yang mahal. Tak perlulah pelamin, band, karaoke. Duit hantaran tu kita kasi semua pada Syikin. Nanti lepas kahwin, banyak dia suami isteri nak pakai duit. Nak mulakan hidup barulah katakan. Tak payah nak berhutang-hutang."
"Jah cakap macam tu, senanglah urusan abang. Nanti tinggal bincang dengan AJK masjid dan orang kampung macam mana nak uruskan majlis. Kita buat cara gotong-royong macam selalu."
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Furqan ayat 67:
Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.
Azian tekun mencatatkan sesuatu. Sesekali jari- jemarinya yang pendek berisi pantas menekan- nekan mesin kira sebesar tapak tangan yang diletakkan di atas meja.
"Buat apa tu, Yan? Tekun benar nampaknya. Abang balik pun sampai tak perasan," usik Hamid bila mendapati isterinya tidak menoleh-noleh setelah lantai yang dipijaknya berbunyi.
"Ala. Yan tengah kira persiapan kenduri kita nanti. Kad jemputan, katering, sewa kanopi, mak andam, pelamin, bunga telur, kereta pengantin, jurugambar, video, deejay, kek pengantin, karaoke, penginapan rombongan besan, barang hantaran, baju pengantin..."
"Yan, kan tunangnya setahun. Lama lagi," tegur Hamid. Dia menambah kelajuan kipas angin sebelum menyandarkan tubuhnya ke sofa warna biru di ruang tamu rumahnya.
"Setahun tak lama, Encik Hamid oi! Yan dah selak banyak majalah pengantin. Macam-macam tip yang dia orang sediakan termasuklah fasal persiapan. Dalam setahun nak buat apa. Lagi lima bulan nak buat apa. Tiga bulan nak sedia apa. Abang orang lelaki apa tau. Ini bidang kepakaran orang pompuanlah!" tingkah Azian. Dia kembali menyambung kerja-kerjanya.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa' ayat 37 - 38:
Dan Kami telah menyediakan untuk orang- orang kafir seksa yang menghinakan. Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka kerana riya' kepada manusia.
Hamid tersenyum nipis melihat gelagat isterinya yang begitu teruja hendak mengadakan kenduri kahwin buat pertama kali. Baginya, kalau orang berpendapatan sederhana, kenduri yang akan diadakan pun sederhana juga. Tidak perlu bertanding dengan orang yang kaya-raya sehingga terpaksa meminjam bergolok-bergadai. Orang kaya mempunyai kemampuan mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran. Namun ada juga yang mengadakannya secara sederhana kerana tidak mahu membazir. Walaupun pengantin digelar raja sehari tetapi apalah gunanya jika selepas itu dia menjadi hamba kepada hutang sepanjang usia perkahwinan.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Isra' ayat 26 - 27:
Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros- pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.
Hamid sedar sudah menjadi kebiasaan masyarakat hari ini yang berasa malu jika membuat kenduri kahwin hanya secara kecil-kecilan. Bimbang dengan umpat keji masyarakat sekeliling. Sanggup pula berhutang untuk 'menutup' mulut orang. Alangkah baik kalau duit itu digunakan untuk membayar deposit membeli rumah atau membeli benda lain yang lebih bermanfaat. Namun pada hari itu, bukan masa yang sesuai untuk dia menasihati isterinya yang sedang ghairah hendak menimang menantu.
Zabedah mengeluarkan beberapa katalog pakaian pengantin dari laci meja tulisnya. Kemudian katalog itu diserahkan kepada Murni yang datang ke butiknya dengan ditemani oleh ibunya.
"Ini semua fesyen baru. Kebaya labuh, baju pendek potongan kembang, blaus pendek ala kebaya, baju Riau, gaun ala-ala baby doll pun ada. Badan engkau pun langsing. Takkan dalam tempoh lima bulan ni boleh membesar. Kalau naik pun sikit saja. Pandai-pandailah jaga badan. Nanti acik bagi petua-petua bakal pengantin. Ha. Yang ini pula rawatan kecantikan. Ada rawatan muka, rambut, urut, lulur, mandi rempah, mandi susu. Kahwin ni tak cukup dengan solek dan berdandan. Kalau badan bau tengit, alamat tak sampai sebulan. Lari laki engkau!" Becok mulut Zabedah menerangkan hingga Azian tidak sempat menyampuk.
Murni pula hanya mengunci mulutnya. Tangannya membelek-belek hambar setiap katalog yang disuakan kepadanya.
"Berapa harganya Bedah? Engkau dari tadi tunjuk macam-macam," Azian cepat-cepat bersuara sebelum Zabedah membuka mulutnya semula selepas menarik nafas buat seketika.
"Alah Kak Yan. Dengan Kak Yan, saya bagi harga istimewa. Murni pilih dulu, lepas tu baru kita kira. Jangan risaulah, Kak Yan. Kita kan dah lama kawan. Kak Yan dapat priority daripada saya. Pelanggan istimewa katakan," ujar Zabedah memberi jaminan. Tetapi hatinya berasa cuak bila melihat reaksi Murni yang dingin. Sejak tadi dia hanya membelek-belek katalog tanpa berkata sepatah pun. Dia bimbang Murni tidak berkenan dengan fesyen dan perkhidmatan yang ditawarkannya.
Murni duduk di tepi tingkap. Pandangannya dibuang jauh. Sejauh yang boleh. Mungkin sampai ke Jerman, mengekori langkah Amir yang semakin sayup.
"Murni, Amir minta maaf kalau tindakan Amir ni melukakan hati Murni. Amir tahu. Maaf ni tak mampu nak mengubat luka di hati Murni. Amir pun terluka. Dah lama Amir terluka sejak hari pertunangan kita. Tapi demi masa depan, Amir pilih jalan ni. Tawaran sambung belajar ke peringkat ijazah ni memang dah lama Amir tunggu. Lagipun kilang tempat Amir kerja yang bagi biasiswa. Amir tak boleh lepaskan peluang ni. Tanpa ilmu, manusia tidak ada nilainya. Bila Amir dah bergaji besar, mungkin itu yang akan membuka mata mak Murni pada Amir. Kalau ada jodoh, lepas Amir habis belajar nanti, kita fikirkan semula tentang hubungan kita. Tapi kalau dalam tempoh Amir belajar ada orang yang meminang Murni, terimalah. Jangan tunggu Amir."
Setitis air mata jatuh ke pipinya. Namun tidak sehebat tangisan ibunya yang bertukar menjadi raungan sebaik sahaja menerima berita itu. Rombongan daripada pihak keluarga Amir memohon ampun dan maaf kerana terpaksa menangguhkan rancangan mereka. Ayahnya menerima perkara itu dengan tenang dan tidak meminta apa-apa ganti rugi daripada pihak keluarga Amir. Hanya ibunya yang menjerit-jerit histeria selepas rombongan keluarga Amir balik. Ibunya berasa malu dan takut bukan kepalang. Sebahagian persiapan telah dibuat. Orang kampung juga sudah tahu yang dia merancang hendak mengadakan majlis perkahwinan Murni di Dewan Tun Idris.
Berita itu bukan sahaja menjadi tamparan hebat kepada Azian malah kepada Zabedah juga. Dia berasa sesak nafas kerana telah menolak banyak tempahan semata-mata hendak memberikan tumpuan terbaik untuk anak sahabat karibnya itu.
Kita sewajarnya tidak terlalu ghairah berbelanja besar sehingga lupa bahawa selepas majlis perkahwinan kita akan memulakan hidup baru bersama pasangan di rumah sendiri. Bagi yang merancang tinggal bersama keluarga atau mentua, mungkin mereka agak kurang bermasalah dari segi menyediakan perkara asas. Tetapi bagi mereka yang ingin tinggal bersendirian, rumah sewa sepatutnya sudah diperoleh dua atau tiga bulan sebelum berkahwin.
Sekiranya kita membudayakan majlis perkahwinan yang sederhana, sudah tentu perkara-perkara negatif seperti berhutang, menunjuk-nunjuk, membazir dan sebagainya dapat dijauhi. Perkahwinan adalah ibadah dan sunnah Rasulullah s.a.w. Namun jika ia dicemari dengan perkara- perkara yang tidak baik, dibimbangi nanti matlamat untuk melaksanakan ibadah tidak tercapai.