Sinopsis Filem Ibu Mertua-ku | P.Ramlee

17 January 2016

Gambar: Wikipedia

Sinopsis Ibu Mertuaku


Nyonya Mansoor ialah seorang janda kaya yang mementingkan harta, pangkat, dan kedudukan seseorang. Anak gadisnya, Sabariah mencintai seorang peniup saksofon yang bernama Kassim Selamat. Mereka berdua berhubungan melalui telefon dan perjumpaan yang dilakukan secara rahsia. Apabila Nyonya Mansoor mengetahui perkara ini, dia berasa marah kerana Sabariah telah ditunangkan dengan Doktor Ismadi sejak sekian lama dan Kassim Selamat tidak sama taraf kedudukan dengan keluarganya. Oleh sebab Sabariah terlalu mencintai Kassim Selamat, dia menentang keputusan ibunya. Kassim Selamat dan Sabariah berpindah ke Pulau Pinang untuk memulakan hidup baharu. Kehidupan mereka tidak stabil kerana Sabariah tidak membenarkan Kassim Selamat bekerja di Night Club.

Apabila Sabariah mengandung, Nyonya Mansoor datang ke Pulau Pinang untuk membawa Sabariah pulang kerana Kassim Selamat kini bekerja sebagai seorang buruh kasar. Setelah Sabariah melahirkan anak, Nyonya Mansoor menghantar satu telegram palsu kepada Kassim Selamat menyatakan bahawa Sabariah telah meninggal dunia. Oleh sebab terlalu sedih, Kassim Selamat menangis sehingga matanya buta. Dia diselamatkan oleh seorang perempuan ketika dia sedang merayau-rayau. Di rumah perempuan tersebut, Mamak Maidin telah membantu Kassim Selamat untuk menjadi pemuzik lagi dan mereka telah mengadakan pertunjukan di merata tempat.

Sementara itu, Nyonya Mansoor memberitahu Sabariah bahawa Kassim Selamat meninggal dunia. Akhirnya, Sabariah bersetuju dinikahkan dengan Dokktor Ismadi. Semasa Kassim Selamat mengadakan pertunjukan di Singapura, Sabariah bertemu dengan Kassim Selamat dan meminta pertolongan suaminya, Doktor Ismadi untuk memulihkan penglihatan Kassim Selamat. Doktor Ismadi bersetuju dengan permintaan isterinya. Pembedahan itu amat berjaya. Kassim Selamat merayu Nyonya Mansoor supaya membawanya mengunjungi kubur Sabariah. Apabila Kassim Selamat mengetahui bahawa Sabariah masih hidup dan mengkahwini dengan Doktor Ismadi, dia berasa teramat marah. Pada masa ini, Nyonya Mansoor berasa bersalah dan dia meminta maaf Kassim Selamat. Akhirnya, Kassim Selamat membutakan matanya dengan menggunakan garpu.
Comments
0 Comments

No comments :

Post a Comment